Siapakah yang digelar Sahabat Nabi?

Wednesday 20 March 2013

 
Definasi "Para Sahabat"

al-Hafiz Ibnu Hajar رحمه الله berkata: "Pandangan yang paling tepat menurutku bahawa Sahabat ialah: mereka yang bertemu dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu beriman dengannya, kemudian mati dalam keadaan seorang Islam (Muslim). Termasuk juga adalah: mereka yang telah menghabiskan masa yang lama berdampingan dengan Nabi صلى الله عليه وسلم dan juga mereka yang menghabiskan masa dalam hanya beberapa ketika; dan meriwayatkan hadith daripada Baginda صلى الله عليه وسلم dan juga mereka yang tidak meriwayatkan hadith daripada Baginda صلى الله عليه وسلم , mereka yang sempat menyertai perperangan bersama Baginda صلى الله عليه وسلم dan juga mereka yang tidak menyertai perperangan bersama Baginda صلى الله عليه وسلم , serta mereka yang sempat bertemu dengan Baginda صلى الله عليه وسلم sekali, walaupun tidak menghadiri perhimpunan bersama Baginda  صلى الله عليه وسلم; dan juga mereka yang tidak berupaya untuk melihat Baginda صلى الله عليه وسلم kerana keuzuran, seperti seorang buta." [al-Isabah fi Tamyyiz al-Sahabah (1/4)]

Imam Nawawi رحمه الله berkata: "Pandangan yang tepat menurut sebahagian besar ulama' adalah bahawa Sahabat ialah: Setiap orang yang Beriman yang telah melihat (bertemu) Nabi صلى الله عليه وسلم walaupun hanya selama satu jam, maka orang ini dikira sebagai Sahabat." [Syarah Sahih Muslim (16/85) oleh Imam an-Nawawi رحمه الله ]

Imam Ahmad رحمه الله berkata: "Setiap insan yang bersama-sama dengan Nabi صلى الله عليه وسلم  sama ada selama setahun, sebulan, sehari, satu jam, atau hanya cuma melihat Baginda صلى الله عليه وسلم - adalah mereka itu termasuk dalam kalangan Sahabat". [al-Kifayah fi 'Ilmir-Riwayah (m/s. 99) oleh Khatib al-Baghdadi رحمه الله ]

Imam al-Bukhari رحمه الله pula menyatakan: "Sesiapa yang berdampingan dengan Nabi صلى الله عليه وسلم atau telah melihat Baginda - daripada kalangan mereka yang beriman - maka dia adalah dalam kalangan Sahabat". [Fathul Bari (7/1)]

0 comments:

Post a Comment

 
Khaleel Atsary™ | Seekers Guidance © 2013 | All provided materials here are not mine unless I stated so.