Larangan Berkata-kata tanpa Ilmu

Friday 15 March 2013


Imam Ibnu Majah meriwayatkan di dalam Sunannya :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ قُدَامَةَ الْجُمَحِيُّ عَنْ إِسْحَقَ بْنِ أَبِي الْفُرَاتِ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

Abu Bakr bin Abi Syaibah memberitahu kepada kami. Dia berkata; Yazid bin Harun menuturkan kepada kami. Dia berkata; Abdul Malik bin Qudamah al-Jumahi menuturkan kepada kami dari Ishaq bin Abil Farrat dari al-Maqburi dari Abu Hurairah, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda, “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat umum.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah) [1]


Hadith yang agung ini menerangkan kepada kita:



1. Peringatan akan bahaya berbicara tanpa landasan ilmu. 

Allah ta’ala berfirman, “Janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai ilmu tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, itu semua akan dipertanggungjawabkan.” (QS. al-Israa’ : 36).

Firman Allah lagi, “Wahai manusia, makanlah sebahagian yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh yang nyata bagi kalian. Sesungguhnya dia hanya akan menyuruh kalian kepada perbuatan dosa dan perkara keji, dan agar kalian berkata-kata atas nama Allah dalam sesuatu yang tidak kalian ketahui ilmunya.” (QS. al-Baqarah : 168-169).

Jadi, sesiapa sahaja yang suka berbicara mengunakan kata-kata agama tanpa ilmu, sesungguhnya dia adalah sekutu bagi Syaitan, bukan pembela agama dan bukan juga pembela keadilan atau penegak Syariat Islam!


2. Hadith ini menunjukkan pentingnya kejujuran, dalam masa sama mengandungi peringatan akan bahayanya penipuan. 

Rasulullah SAW bersabda, “Wajib bagi kalian untuk bersikap jujur, kerana kejujuran akan membawa  kepada kebaikan, dan kebaikan itu akan membawa ke syurga. Apabila seseorang terus menerus bersikap jujur dan berusaha untuk sentiasa jujur maka di sisi Allah dia akan dicatat sebagai orang yang Siddiq. Dan jauhilah kedustaan, kerana kedustaan itu akan membawa kepada kefajiran [2], dan kefajiran akan menjerumuskan ke dalam neraka. Apabila seseorang terus menerus berdusta dan mempertahankan kedustaannya maka di sisi Allah dia akan dicatat sebagai seorang pendusta.” (Hadith Riwayat Muslim dari Abdullah bin Mas’ud).


3. Hadith ini juga menunjukkan pentingnya menjaga amanah dan memperingatkan kita semua akan bahayanya mengkhianati amanah.

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah datangnya hari kiamat.” Lalu ada sahabat yang bertanya, “Bagaimanakah amanah itu disia-siakan?”. Maka Baginda SAW menjawab, “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat.” (Hadith Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah).

Rasulullah SAW juga bersabda, “Tidaklah beriman pada diri orang yang tidak memiliki sifat amanah.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman dari Anas bin Malik, dihasankan al-Albani dalam Takhrij Misykat al-Mashabih [35] as-Syamilah)


4. Hadith ini menerangkan, apabila masyarakat berada dalam keadaan yang kacau bilau maka hendaklah mereka kembali kepada para ulama.

Ulama yang dimaksudkan adalah mereka yang berlandaskan manhaj fahaman yang benar terhadap al-Quran dan Sunnah sebagaimana jalan golongan Salafussoleh. Kerana merekalah (salafussoleh) yang lebih mengetahui makna sebenar hidup ini berbanding kita. Sebab itulah ulama sendiri membina satu kaedah, "لَوْ كَانَ خَيْرًا لَسَبَقُونَا إِلَيْهِ" Lau Kana Khairan Lasabaquuna ilaih [3] (Sekiranya ia baik, semestinya mereka akan lakukan dahulu), yakni sekiranya sesuatu perkara itu baik, semestinya para sahabat akan melakukannya terlebih dahulu dan tidaklah perlu bagi kita untuk mencipta dan mengada-adakan perkara baru didalam agama, dalam setiap aspek termasuklah di dalam perkara muamalah, dakwah, tauhid, jihad dan lain-lain.

____

[1] Syeikh al-Albaani menyimpulkan hadith ini sebagai 'Hasan li Syawaahidihi' (Baik kerana dikuatkan sanadnya) dalam al-Sahihah, #1887. Syeikh Muqbil juga menyimpulkan hadith ini sebagai "Hasan li ghairihi" di dalam Sahih Dalaail an-Nubuwwah, #568.
[2] Fajir : Orang yang buruk akhlaknya dan selalu melakukan maksiat.
[3] Rujuk Tafsir Quran al-Azim oleh Ibnu Katsir, penerangan ayat 11 surah al-Ahqaaf.

0 comments:

Post a Comment

 
Khaleel Atsary™ | Seekers Guidance © 2013 | All provided materials here are not mine unless I stated so.