Agar Taubatmu diterima Allah...

Saturday, 4 May 2013



Sebagai seorang manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa, samada besar atau kecil. Oleh dengan itu, Allah memerintahkan kita agar sentiasa bertaubat dan memohon keampunan dariNya, dan ia merupakan syarat untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Hal ini banyak sekali dinyatakan di dalam al-Quran. Antaranya dalam ayat ke 3 Surah Hud dan ayat ke-31 Surah an-Nur.

Firman Allah,

"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya)." [Surah Hud, ayat 3]

Firman Allah lagi,

"... dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah an-Nur, ayat 31]  

Apabila seseorang itu bertaubat, maka hendaklah ianya disertai dengan beberapa syarat agar taubatnya diterima oleh Allah, antaranya :

  1. Ikhlas kepada Allah. Taubat yang hanya dilakukan dengan ikhlas mengharap pengampunan Allah, bukan untuk meraih apa-apa habuan dunia atau disertai rasa riak.
  2. Menyesali dengan perbuatan dosa yang pernah dilakukan. Menyesal dengan bersungguh-sungguh akan dosa yang pernah dilakukan, kerana rasa menyesal itu telah cukup untuk membuktikan keikhlasan kita dihadapan Allah.
  3. Menjauhi dan tidak lagi melakukan perbuatan dosa lalu. Jika seseorang meninggalkan perkara wajib, maka dia hendaklah segera menunaikan kewajipan yang ditinggalkan itu. Jika dia melakukan perkara yang haram, maka dia mestilah segera meninggalkannya. Jika dia mencuri harta orang, maka dia mestilah memulangkan balik harta yang dicuri itu.
  4. Berazam untuk tidak akan mengulangi dan terjebak dengan kesalahan dosa yang lalu. Taubat yang disertai dengan niat untuk kembali kepada kesalahan yang lalu (jika ada peluang) tidak diterima. Bahkan, ia seolah-olah mempermainkan dan memperolok-olok dihadapan Allah.
  5. Taubat yang dilakukan itu mesti dalam waktu yang diterima taubatnya. Huraiannya, jika dinisbahkan kepada seseorang insan, maka taubatnya itu mestilah sebelum ajal menjelang, dan tidaklah sewaktu ajal sudah sampai. (Surah an-Nisa', ayat 18). Jika dinisbahkan keada umum, waktunya tidaklah apabila tanda-tanda besar pengakhiran dunia (kiamat) telah muncul, seperti terbitnya matahari dari sebelah barat. (Surah al-An'am, ayat 158)

- Diambil dan diubahsuai daripada Syarah Riyadhus Salihin, Shaykh Muhammad bin Salih al-Uthaymeen, Muassasah ar-Risalah, m/s 41-43.

0 comments:

Post a Comment

 
Khaleel Atsary™ | Seekers Guidance © 2013 | All provided materials here are not mine unless I stated so.