Hello.

Welcome. أهلا وسهلا. Selamat Datang.This is personal blog of Abu Khaleel Muhammed, a blogger, freelance writer, translator and a proud muslim. I write when I feel like it. The topics are based on whatever comes to my mind so you might find a little bit of deen, a little bit of dunya and a little bit about Linux. A whole lot of random.

Agar Taubatmu diterima Allah...

Saturday 4 May 2013



Sebagai seorang manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa, samada besar atau kecil. Oleh dengan itu, Allah memerintahkan kita agar sentiasa bertaubat dan memohon keampunan dariNya, dan ia merupakan syarat untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Hal ini banyak sekali dinyatakan di dalam al-Quran. Antaranya dalam ayat ke 3 Surah Hud dan ayat ke-31 Surah an-Nur.

Firman Allah,

"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya)." [Surah Hud, ayat 3]

Firman Allah lagi,

"... dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah an-Nur, ayat 31]  

Apabila seseorang itu bertaubat, maka hendaklah ianya disertai dengan beberapa syarat agar taubatnya diterima oleh Allah, antaranya :

  1. Ikhlas kepada Allah. Taubat yang hanya dilakukan dengan ikhlas mengharap pengampunan Allah, bukan untuk meraih apa-apa habuan dunia atau disertai rasa riak.
  2. Menyesali dengan perbuatan dosa yang pernah dilakukan. Menyesal dengan bersungguh-sungguh akan dosa yang pernah dilakukan, kerana rasa menyesal itu telah cukup untuk membuktikan keikhlasan kita dihadapan Allah.
  3. Menjauhi dan tidak lagi melakukan perbuatan dosa lalu. Jika seseorang meninggalkan perkara wajib, maka dia hendaklah segera menunaikan kewajipan yang ditinggalkan itu. Jika dia melakukan perkara yang haram, maka dia mestilah segera meninggalkannya. Jika dia mencuri harta orang, maka dia mestilah memulangkan balik harta yang dicuri itu.
  4. Berazam untuk tidak akan mengulangi dan terjebak dengan kesalahan dosa yang lalu. Taubat yang disertai dengan niat untuk kembali kepada kesalahan yang lalu (jika ada peluang) tidak diterima. Bahkan, ia seolah-olah mempermainkan dan memperolok-olok dihadapan Allah.
  5. Taubat yang dilakukan itu mesti dalam waktu yang diterima taubatnya. Huraiannya, jika dinisbahkan kepada seseorang insan, maka taubatnya itu mestilah sebelum ajal menjelang, dan tidaklah sewaktu ajal sudah sampai. (Surah an-Nisa', ayat 18). Jika dinisbahkan keada umum, waktunya tidaklah apabila tanda-tanda besar pengakhiran dunia (kiamat) telah muncul, seperti terbitnya matahari dari sebelah barat. (Surah al-An'am, ayat 158)

- Diambil dan diubahsuai daripada Syarah Riyadhus Salihin, Shaykh Muhammad bin Salih al-Uthaymeen, Muassasah ar-Risalah, m/s 41-43.

Diusir daripada Arab Saudi kerana terlalu kacak?

Isu penangkapan dan penghantaran pulang 3 warga UAE daripada Arab Saudi kini hangat diperkatakan. Blog-blog, laman sosial, termasuklah agensi berita Malaysia juga tidak kurang hebatnya dalam menyebarkan info ini.

Dikatakan 3 lelaki warganegara UAE ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi ketika mana mereka menghadiri majlis kebudayaan Janadriah di Riyadh, atas alasan mereka 'terlalu kacak' untuk tinggal di negara berkenaan.


Berita Harian pada 19 April lalu melaporkan, lelaki terbabit dihantar pulang ke negara asal disebabkan pihak Suruhanjaya Amal Makruf Nahi Mungkar yang kononnya bimbang akan kekacakan mereka boleh membuatkan para wanita disana jatuh hati kepada mereka.

“Pegawai festival berkata bahawa ketiga lelaki UAE terbabit dibawa keluar kerana alasan mereka terlalu kacak dan Suruhanjaya Amar Makruf Nahi Mungkar dikatakan bimbang pengunjung wanita boleh jatuh hati dengan mereka,” lapor akhbar berbahasa Arab, Elaph. - Berita Harian

Respon peribadi penulis

Terlebih dahulu, izikan saya membawakan sepotong ayat Quran yang bermaksud,

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. - Surah al-Hujuraat, ayat 6.

Nabi Sallallahu 'alayhi wa Sallam pula bersabda,

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat umum.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah) [Syeikh Muqbil  menyimpulkan hadith ini sebagai "Hasan li ghairihi" di dalam Sahih Dalaail an-Nubuwwah, #568.]

Jadi, antara intipati yang boleh kita dapati daripada ayat dan hadith di atas, adalah hendaknya kita semua, bahkan ianya menjadi kewajiban bagi kita untuk menyelidiki terlebih dahulu akan kesahihannya, sebelum dipercayai, apatah lagi untuk disebarkan.

Kisahnya menyebut bahawa salah seorang daripada yang ditahan, Omar Borkan al-Gala yang juga merupakan seorang model dihantar pulang kerana terlalu kacak untuk tatapan gadis disana. Hairan kan? Kerana terlalu kacak, lalu dihantar pulang, hanya kerana itu? Mudahnya undang-undang Saudi!

Mungkin ada yang bersikap cedok sahaja, atau ada yang skeptis, saya katakan "Ya!". Masyarakat dunia terlalu memandang serong terhadap negara Saudi, yang kita tahu bahawa disana pengamalan terhadap undang-undang Islamnya agak kuat, jika dibandingkan dengan negeri-negeri umat Islam yang lain. Sebenarnya ini bukan pertama kali fitnah ini dibangkitkan terhadap negara Saudi, lupakah kita pada pertengahan tahun lalu, tersebar berita kononnya maqam Rasulullah akan dirobohkan? Setelah diselidik, ternyata berita berkenaan datangnya daripada agensi berita Syiah Iran!

Elaph, akhbar liberal berbahasa Arab yang berpangkalan di London.

Sama juga berkenaan berita ini, diambil daripada agensi berita Arab, yang kononnya bersifat lokal yang bernama Elaph yang berpangkalan di London kerana ingin bergerak bebas tanpa sekatan oleh Kerajaan Arab Saudi, disebabkan fahaman liberal yang dipegang oleh pengasasnya, Othman al Omeir. Jadi jelaslah berita ini disebarkan dengan rasa kebencian mendalam pengasasnya kepada kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan sebarang fahaman yang bercanggah dengan syariat.

Laman Saudi Life juga menukilkan satu artikel yang menyanggah penyebaran berita berkenaan dibawah tajuk "The Man Too Handsome for Saudi Arabia Who Wasn't" (Lelaki Yang Terlalu Kacak Untuk Arab Saudi Yang Sebenarnya Palsu). Kata mereka, memang benar bahawa lelaki berkenaan ditahan, namun berdasarkan sebab yang kukuh, yakni berkelakuan kurang sopan, BUKAN kerana terlalu kacak!

Menurut ketua mutaween (polis agama) yang menahan al-Gala, Sheikh Abdullatif al-Sheikh, al-Gala memasuki ruangan keluarga pada hari dimana acara kebudayaan itu berlangsung sambil menari dengan lenggok yang tidak sopan, lalu menyebabkan beberapa aduan telah dibuat oleh orang ramai terhadap beliau, sehingga menyebabkan beliau diambil tindakan oleh pihak berkuasa, ditahan lalu disoal siasat.

Nampaknya bukan faktor kekacakan beliau yang menjadi masalah, namun tindakan beliau yang kurang sopan dan juga kurang menyenangkan menjadi penyebab utama mengapa beliau dikenakan tindakan kerana menyebabkan ketidak selesaan kepada hadirin.

Tidak cukup dikenakan tindakan, beliau (al-Gala) sekaligus mereka cerita yang tidak benar terhadap soal siasatnya untuk meraih populariti semata-mata.

Agensi berita Latinos Post pula melaporkan, al-Gala mengambil kesempatan akan insiden ini untuk meraih populariti sebagai "Jejaka Terkacak Arab" lalu membantu karier beliau sebagai seorang model. Laman berita berkenaan turut melaporkan bahawa sebelum insiden berkenaan, laman facebook beliau hanya mempunyai 85, 000 likes, namun selepas insiden berkenaan, bilangan likes bertambah menjadi sebanyak 540, 000 likes! 

Penulis cuba membukanya pada hari ini, ternyata bilangan likesnya bertambah kepada 751, 000 orang! Ternyata al-Gala seorang yang pandai menggunakan peluang ini untuk mengejar kemahsyuran!


 
Khaleel Atsary™ | Seekers Guidance © 2013 | All provided materials here are not mine unless I stated so.