Syarat diterimanya Amalan

Monday 25 February 2013


Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya, setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kerana apa yang dikehendaki." (Muttafaqun 'alaih)

Sebagaimana yang diketahui umum, setiap amalan itu bergantung kepada niat kerana niat itu menjadi tanda aras bagi menentukan tahap keikhlasan seseorang ataupun sebaliknya. Imam Bukhari memulakan mukaddimah dalam Shahihnya dengan hadith ini (sebagaimana juga Imam Nawawi dalam Hadith 40) yang dimana ianya memperingatkan kepada kita semua bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang semata-mata bukan untuk mencari keredhaan Allah maka dia tidak akan menerima imbalannya sama ada di dunia mahupun di akhirat. Lalu bagaimanakah pula untuk sesuatu amalan itu diterima lalu dikira sebagai ibadah?

Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata :

“Dua rukun diterimanya ibadah, iaitu harus ikhlas kerana Allah dan mengikuti petunjuk Rasulullah SAW.” [1]

Jika dilihat daripada penjelasan al-Imam diatas, dapatlah kita fahami bahawa setiap amalan yang dilakukan boleh menjadi sia-sia dan tidak diterima Allah melainkan merangkumi 2 prinsip yang telah dijelaskan, iaitu:

1. Ikhlas mengerjakan amalan kerana Allah

Harus benar-benar mengharapkan redha dan ganjaran pahala daripada Allah, dalam masa yang sama hendaklah sentiasa merendah diri dan memperbaiki akhlak, dibimbangi pula akan tercampur dengan syirik dan juga riyak (ingin dipuji manusia), sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam sebuah hadith, Baginda Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَ جَلَّ لاَ يَقْبَلُ مِنَ الْعَمَلِ إِلاَّ مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ

“Sesungguhnya Allah tidak akan menerima sesuatu amal perbuatan kecuali yang ikhlas dan hanya mengharap redha Allah”. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan Nasa’ie)

2. Berpandukan dengan ittiba' (tuntunan) Nabi SAW

Segala amalan yang dilakukan hendaklah sentiasa bersesuaian dengan dalil dari Quran dan Sunnah, iaitu ajaran dan tuntunan daripada Nabi Muhammad SAW, dalam masa sama mengelakkan diri daripada melakukan amalan dan ibadah yang tidak dicontohkan oleh Baginda Rasulullah dan juga para sahabat, yakni melakukan amalan bid'ah yang tiada asalnya daripada dalil Quran dan Sunnah. Hadith ini menjelaskan amaran kepada mereka:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang bukan dari kami (tiada petunjuk daripada Rasulullah dan sahabat), maka ianya tertolak”. (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini mengajarkan kepada kita akan prinsip bahawa penerimaan amalan kita (sama ada diterima atau tidak) adalah bergantung kepada siapa yang kita ikuti dan mengambil petunjuk. Jika ianya bertepatan dengan sunnah, maka amalan itu semestinya akan diterima, namun jika ianya tidak bersumberkan mana-mana sunnah yang sahih, akan mengakibatkan amalan itu boleh jadi tidak diterima.

Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah telah berkata :

“Sesungguhnya andaikata suatu amalan itu dilakukan dengan ikhlas namun tidak benar maka amalan itu tidak diterima. Dan andaikata amalan itu dilakukan dengan benar tapi tidak ikhlas, juga tidak diterima, sehinggalah dia melakukannya dengan ikhlas dan juga benar. Ikhlas semata-mata kerana Allah, dan benar apabila bersesuaian dengan tuntunan Nabi ”

(Jami’ul ‘Ulum wal Hikam, oleh Ibnu Rajab al-Hanbali)

______

[1] Tafsir Al Quran al-Azim, Ibnu Katsir, 9/205, Muassasah Qurthubah.

0 comments:

Post a Comment

 
Khaleel Atsary™ | Seekers Guidance © 2013 | All provided materials here are not mine unless I stated so.