7 Etika Pemakaian Muslimah

Monday 25 February 2013



Hijab adalah pakaian yang merangkumi syarat-syarat seperti berikut:

  1. Hendaklah meliputi dan menutupi seluruh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan sahaja yang boleh dilihat (mengikut beberapa pandangan Fiqh)
  2. Kain hendaklah tidak terlalu nipis agar orang lain tidak boleh melihat apa disebaliknya
  3. Pakaian hendaklah longgar supaya tidak menampakkan bentuk badan
  4. Pakaian wanita hendaklah tidak menyamai pakaian bagi lelaki
  5. Rekabentuk pakaian hendaklah tidak menyerupai pakaian wanita bukan Islam
  6. Rekabentuk pakaian juga harus tidak bertujuan untuk menarik perhatian
  7. Hendaklah memakai pakaian tanpa tujuan untuk menunjuk-nunjuk (libas syuhrah) kepada orang lain

Antara sebab mengapa Islam menekankan aspek ketegasan dalam menentukan faktor pemakaian bagi muslimah adalah supaya wanita itu dilindungi daripada pandangan berahi lelaki. Seseorang wanita yang beriman tidak seharusnya menarik perhatian lelaki walau apa jua cara sekalipun. Dibenarkan bagi lelaki untuk melihat wanita, namun haram bagi seseorang lelaki untuk melihat seseorang wanita itu untuk kali keduanya kerana ianya akan mendorong pemikiran yang disertai nafsu. Sebaliknya mereka diperintahkan untuk menundukkan pandangan kerana itu lebih baik dan mampu menjaga hati mereka.

Islam amat melindungi wanita, bukan mengongkong wanita. Oleh sebab itu Allah menekankan soal pemakaian wanita ini dengan begitu tegas. Masyarakat hari ini secara terang-terangan mengeksploitasi wanita, seksualiti mereka juga digunakan secara terbuka dalam pengiklanan untuk menarik nafsu lelaki dan sekaligus melariskan produk. Adakah seseorang wanita itu benar-benar bebas dalam masyarakat kini? Jawapannya sama sekali tidak! Media hari ini berterusan mengajar masyarakat, bagaimana seseorang wanita itu harus berpakaian dan fesyen hari ini membuktikan segalanya. 

Islam membebaskan wanita lebih daripada 1400 tahun yang lalu. Adakah lebih baik bagi anda untuk berpakaian menurut manusia, atau lebih baik menurut perintah Allah?

Bahkan Allah telah menyatakan secara terang-terangan di dalam Quran bahawa wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan mereka;

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..." [Surah an-Nur, ayat 31]

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." [Surah an-Nur, ayat 30]

"...bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah an-Nur, ayat 31]




0 comments:

Post a Comment

 
Khaleel Atsary™ | Seekers Guidance © 2013 | All provided materials here are not mine unless I stated so.